TGKH M. Zainuddin Abdul Madjid, Pendiri Nahdlatul Wathan

Nama lengkap ulama besar yang berasal dari Lombok Timur ini ialah Tuan Guru Kiyai Haji Muhammad Zainuddin bin Haji Abdul Madjid. Ketika kecil, ahli keluarganya memanggil beliau Muhammad Saggaf. Asal-muasal penggunaan nama ini bermula setelah ayahandanya didatangi oleh waliyullah yang berasal dari Hadhramaut dan Maghribi tiga hari sebelum beliau dilahirkan.Kedua waliyullah itu secara kebetulan mempunyai nama yang sama iaitu “Saqqaf” dan berpesan kepada Tuan Guru Haji Abdul Madjid supaya anaknya yang akan lahir itu diberi nama “Saqqaf” yang bermaksud “tukang memperbaiki atap”.

Kata “Saqqaf” kemudiannya di Indonesia-kan menjadi “Saggaf” dan untuk dialek bahasa Sasak menjadi “Segep”. Itulah sebabnya beliau sering dipanggil dengan “Gep” oleh bondanya. Setelah menunaikan ibadah haji, nama yang digunakan semasa kecil diganti dengan Haji Muhammad Zainuddin. Nama ini diberi oleh ayahanda beliau sendiri yang diambil bersempena nama seorang ulama besar dari Tanah Melayu yang mengajar di Masjidil Haram. Ulama besar yang dimaksudkan ialah Syeikh Muhammad Zainuddin yang berasal dari Sarawak. Tuan Guru Kiyai Haji Abdul Madjid dilahirkan di Kampung Bermi, Pancor, Lombok Timur, Nusa Tenggara Barat pada 17 Rabiul Awwal 1316 Hijriah bersamaan dengan dengan 5 Ogos 1898 Masehi hasil dari perkahwinan Tuan Guru Haji Abdul Madjid yang lebih terkenal dengan panggilan Guru Mukminah atau Guru Minah dengan seorang wanita solehah bernama Hajjah Halimah al-Sa’diyah.[1] Tuan Guru Haji Muhammad Zainuddin berpulang ke rahmatullah pada hari Selasa, 21 Oktober 1997 M bersamaan 20 Jumadil Akhir 1418 H di kediamannya di desa Pancor, Lombok Timur.

Diriwayatkan Tuan Guru Haji Muhammad Zainuddin berketurunan kesultanan Selaparang, sebuah kerajaan Islam yang pernah berkuasa di Pulau Lombok. Disebutkan bahwa Tuan Guru Haji Muhammad Zainuddin Abdul Madjid merupakan keturunan Kerajaan Selaparang yang ke-17.[2] Dalam keluarganya, Tuan Guru Haji Muhammad Zainuddin adalah anak bongsu dari enam bersaudara. Saudara kandung beliau ada lima orang iaitu Siti Syarbini, Siti Cilah, Hajjah Saudah, Haji Muhammad Sabur dan Hajjah Masyitah.
Tuan Guru Haji Muhammad Zainuddin mendapat pendidikan awal dari ayahandanya sendiri. Beliau mula mengaji al-Quran dan ilmu-ilmu agama yang lain yang dididik oleh ayahandanya sejak usianya 5 tahun. Setelah berusia 9 tahun, Tuan Guru Haji Muhammad Zainuddin memasuki pendidikan formal yang disebut sebagai Sekolah Rakyat Negara. Setelah menamatkan pendidikan formalnya, beliau kemudiannya menuntut ilmu agama ulama besar tempat seperti Tuan Guru Haji Syarafudin dan Tuan Guru Haji Muhammad Sa’id dari Pancor serta Tuan Guru Abdullah bin Amaq Dulaji dari Desa Kelayu, Lombok Timur. Dengan ketiga-tiga guru ini, Tuan Guru Haji Muhammad Zainuddin menimba ilmu dalam sistem halaqah. Beliau berangkat ke Makkah ketika usianya mencecah 15 tahun untuk mendalami ilmu agama. Pada peringkat awal, beliau belajar di lingkaran halaqah di Masjidil Haram. Antara gurunya disitu ialah Syeikh Marzuki, seorang berketurunan Arab kelahiran Palembang yang sudah lama mengajar mengaji di Masjid Haram. Gurunya itu berusia sekitar 50 tahun ketika Tuan Guru Muhammad Zainuddin mula menimba ilmu dengannya. Beliau juga belajar ilmu sastera kepada ahli syair terkenal Makkah iaitu Syeikh Muhammad Amin al-Kutbi dan Sayyid Muhsin Al-Palembani, seorang berketurunan Arab kelahiran Palembang yang kemudiannya menjadi guru beliau di Madrasah al-Shaulatiyah.

dalam sebuah pengajian NW
Selepas berlakunya Perang Wahhabi, Tuan Guru Haji Muhammad Zainuddin memasuki Madrasah al-Shaulatiyah yang pada masa itu dipimpin oleh Syeikh Salim Rahmatullah. Pada hari pertama beliau masuk ke madrasah itulah beliau telah bertemu Syeikh Hasan Muhammad al-Masysyath, guru utama beliau yang banyak mencorak keperibadian beliau. Dari gurunya inilah beliau mendapat risalah/ijazah dengan seluruh isi kitabnya yang bertajuk “al-Irsyad bi al-Dzikr ba’da Ma’alim al-Ijazah wa al-Asnaf”. Untuk menentukan tahap kelayakan beliau belajar disitu, beliau telah diuji oleh Syeikh Salim Rahmatullah sendiri dan Syeikh Hasan Muhammad al-Masysyath. Keputusan beliau amat memuaskan dan boleh masuk terus ke kelas tahap 3 tetapi Tuan Guru Haji Muhammad Zainuddin mahu memasuki kelas tahap 2 terlebih dahulu dengan alasan mahu mendalami ilmu Nahwu dan Sharaf. Prestasi akademiknya sangat luar biasa dan beliau berjaya menyelesaikan pengajiannya dalam tempoh 6 tahun sahaja, 3 tahun lebih cepat dari tempoh lazimnya. Tuan Guru Haji Muhammad Zainuddin Abdul Madjid menyelesaikan pengajian di Madrasah al-Shaulatiyah pada 22 Dzulhijjah 1353 H dengan keputusan mumtaz. Sebagai penghargan atas prestasinya Mudir Madrasah Al-Shaulatiyah sendiri iaitu Syeikh Salim Rahmatullah telah mengundang ahli kaligrafi terbaik di Makkah untuk menulis ijazah Tuan Guru Haji Muhammad Zainuddin, bahkan beliau mengatakan bahawa, “Madrasah Al-Shaulatiyah tidak perlu memiliki murid yang banyak, cukup satu orang saja asalkan memiliki prestasi dan berkualiti seperti Zainuddin”. Selepas menyelesaikan pengajiannya, beliau tidak terus pulang ke tanah asal tetapi mendah kitab fiqh dengan Syeikh Abdul Hamid Abdullah al-Yamani. Diperkirakan beliau berada di Makkah sekitar 13 tahun untuk menimba ilmu disana.

Sebenarnya, guru-guru Tuan Guru Haji Muhammad Zainuddin sangat ramai. Antara ulama besar yang pernah menjadi gurunya ialah seperti
Guru-guru yang mengajarkan al-Qur’an dan Kitab Melayu:
1. Tuan Guru Haji Abdul Majid (ayahandanya sendiri)
2. Tuan Guru Haji Syarafuddin Pancor Lombok Timur, Tuan Guru Haji Muhammad Sa’id Pancor Lombok Timur
3. Tuan Guan Haji Abdullah bin Amaq Dujali Kelayu Lombok Timur
4. Al ‘Alim al-‘Allamah al-Syeikh al-Kabir al-Arifubillah Maulana Syeikh Hasan Muhammad al- al-Masysyath
5. Al ‘Alim al-‘Allamah al-Faqih Maulana al-Syeikh Umar Bajunaid al- Syafi’i
6. Al ‘Alim al-‘Allamah al-Faqih Maulana Syeikh Muhammad Syaid al-Yamani al-Syafi’i
7. Al ‘Alim al-‘Allamah al-Mutaffanin Sibawaihi Zanamihi Maulana Syeikh Ali al-Maliki
8. Maulana Syeikh Abu Bakar al-Palimbani
9. Maulana Syeikh Hasan Jambi al-Syafi’i
10. Al ‘Alim al-‘Allamah al-Muffasir Maulana al-Syeikh Abdul Qadir al-Mandili al-Syafi’i
11. Al ‘Alim al-‘Allamah al-Shufi Maulana Syeikh Muhtar Betawi al-Syafi’i
12. Al ‘Alim al-‘Allamah al-Muhaddith Maulana Syeikh Umar Hamdan al Mihrasi al-Maliki
13. Al ‘Alim al- ‘Allamah al-Muhaddith Maulana Syeikh Abdul Qadir al-Syibli al-Hanafi
14. Al ‘Alim al-‘Allamah al-Adib al-Shufi Maulana Syeikh al-Syayid Muhammad Amin al-Kuthbi al-Hanafi
15. Al ‘Alim al-‘Allamah Maulana Syeikh Muhsin al-Musahwa al-Syafi’i
16. Al ‘Alim al-‘Allamah al-Falaqi Maulana Syeikh Khalifah al-Maliki
17. Al ‘Alim al-‘Allamah Maulana Syeikh Jamal al-Maliki
18. Maulana Syeikh al-Shahih Muhammad Shalih Mukhtar al-Makhdum al-Hanafi
19. Al-‘Alim al-‘Allamah al-Syafi’i Maulana Syeikh Mukhtar al-Makhdum Al Hanafi
20. Maulana Syeikh al-Syayid Ahmad Dahlan al-Syafi’i
21. Maulana Syeikh Salim Cianjur al-Syafi’i
22. Al-‘Alim al-‘Allamah al-Muarrikh Maulana Syeikh Salim Rahmatullah al-Maliki
23. Maulana Syeaikh Abdul Gani al-Maliki
24. Maulana Syeikh al-Syayid Muhammad Arabi al-Tubani al-Jasairi al-Maliki
25. Maulana Syeikh al-Faruq al-Maliki
26. Maulana Syeikh al-Wa’id al-Syeikh Abdullah al-Farisi
27. Maulana Syeikh Mala Musa

Guru Ilmu Tajwid, al-Qur’an dan Qiraat Sab’ah:
1. Al-Syeikh Jamal Mirdad (Imam di makam Imam Hanafi di Masjidil Haram)
2. Al-Syeikh Umar Arba’in (Ahli Qur’an dan Qasidah yang sangat terkenal)
3. Al-Syeikh Abdul Latif Qari (Guru Besar di Qiraat Sab’ah di Madrasah Al-Shaulatiyah)
4. Al-Syeikh Muhammad Uba’id (Guru Besar dalam bidang Tajwid dan Qiraat yang sangat terkenal di Makkah).

Ilmu Fiqh, Tasawuf, Tajwid, Usulul Fiqh dan Tafsir:
1. Al-‘Alamah ‘al-Syeikh Umar Bajunaid al-Syafi’i
2. Al-‘Alimul al-Alamah al-Syeikh Muhammad Said al-Yamani
3. Al-‘Alamah al-Syeikh Muhtar Betawi
4. Al-‘Alamah al-Syeikh Abdul Qadir al-Mandili (Murid Khusus dari al- ‘Allamah Syeikh Ahmad Hamud Minangkabau Sumatera Barat)
5. Al-‘Alamah al-Faqih Abdul Hamid Abdur Rabb al-Yamani
6. Al-‘Mutaffanin al-‘Allamah al-Syayid Muhsin al-Musawa (Pendiri Darul Ulum al-Diniyah Makkah Mukarramah)
7. Al-‘Allamah al-Adib al-Syeikh Abdullah al-Lajahi al-Farisi (Pengarang Yang Sangat Terkenal)

Guru Ilmu Arud (Syair Bahasa Arab):
1. Al-‘Alim al-‘Allamah al-Syeikh Abdul Qani al-Qadli
2. Al-‘Alim al-‘Allamah al-Adib al-Sayyid Muhammad Amin al-Kutbi

Guru Ilmu Falak:
1. Maulana Syeikh Cianjur (Jawa Barat)
2. Al-‘Alim al-‘Allamah al-Falaki Maulana Syaikh Khalifah al-Makki
3. Al-‘Alim al-‘Allamah al-Sayyid Ahmad Dahlan Sadakah al-Syafi’i

Guru Ilmu Hadith, Mustalahul Hadith, Mustahul Tafsir, Ilmu Fara’id, Sirah (Tarikh) dan pelbagai Ilmu Alat (Nahu-Syaraf):
1. Al-‘Allamah al-Qabir Sibawaihi Zamanihi al-Syeikh al-Maliki
2. Al-‘Allamah al-Jalil Assyeikh Jamal al-Maliki
3. Al-‘Alim al-‘Allamah al-Kabir al-Muhaddith Maulana Syeikh Umar Hamdan al-Mihrazi al-Syafi’i
4. Al ‘Alimul ‘Allamah al-Kabir al-Muhaddith Maulana Syeikh Abdullah al-Buhari al-Syafi’i (Mufti Istanbul)
5. Maulana Wamurabbi Abil Barokah al-‘Alim al-‘Allamah al-Ushuli al-Muhaddith al-Shufi al-‘Arifubillah Maulana Syeikh Hasan Muhammad al-Masysyath al-Maliki
6. Al-‘Alim al-‘Allamah al-Shorfi Maulana Syeikh Muftar Makdum al-Hanafi
7. Al-‘Alim al-‘Allamah Maulana Syeikh al-Sayyid Muhsin al-Musawa
8. Al-‘Alim al-‘Allamah al-Adib al-Shufi Maulana Syeikh al-Sayyid Muhammad Amin al-Kutbi al-Hanafi
9. Al-‘Alim al-‘Allamah al-Syeikh Umar al-Faruk al-Maliki
10. Al-‘Alim al-‘Allamah al-Kabir al-Syeikh Abdul Qadir al-Syalabi al-Hanafi

Guru Ilmu Awrad (Ahzab):
1. Al-‘Alim al-‘Allamah (Kiyai Falaj) (Bogor Jawa Barat)
2. Maulana Syeikh Malla Musa al-Maqribi

Guru Khat (Kaligrafi):
1. Al-Khattah al-Syeikh Abdul Aziz Langkat
2. Al-Khattah al-Syeikh Daud al-Rumani al-Fathani
3. Al-Khattah al-Syeikh Muhammad al-Ra’is al-Maliki

Diriwayatkan bahawa Tuan Guru Haji Muhammad Zainuddin kembali ke kampung halamannya setelah mendapat arahan dari gurunya yang paling beliau hormati iaitu Syeikh Hasan Muhammad al-Masysyath, pada tahun 1934. Sebaik tiba di Pulau Lombok beliau langsung mendirikan sebuah pondok atau pesantren yang dikenali dengan nama Pesantren al-Mujahidin. Pada tahun 1356 H bersamaan 1937 M. beliau mendirikan sebuah lagi pusat pengajian yang dikenali dengan nama Madrasah Nahdlatul Wathan Diniyah Islamiyah (NWDI). Madrasah ini khusus untuk mendidik pelajar lelaki. Pada tahun 1362 H bersamaan dengan 1943 M, beliau mendirikan pula Madrasah Nahdlatul Banat Diniah Islamiyah (NBDI) khusus untuk membimbing pelajar wanita. Kedua-dua madrasah ini dianggap sebagai madrasah pertama di Pulau Lombok yang berkembang dengan pesatnya dan bernaung di bawah satu bumbung yang disebut sebagai Nahdlatul Wathan. Kedua-dua madrasah ini lalu dikenali masyarakat dengan panggilan pondok pesantren ‘Dar al-Nahdlatain Nahdlatul Wathan’.

Ringkasnya sumbangan Tuan Guru Haji Muhammad Zainuddin dalam mengembangkan bidang pendidikan sangat banyak antaranya ialah seperti,
1. mendirikan Akademi Paedagogik NW pada tahun 1964
2. mendirikan Ma’had Dar al-Qu’an wa al-Hadith al-Majidiyah Asy-Syafi’iyah Nahdlatul Wathan pada tahun 1965
3. mendirikan Ma’had li al-Banat pada tahun 1974
4. mendirikan Universitas Hamzanwadi dan menjadi rektor universiti pada tahun 1977
5. mendirikan Fakultas Tarbiyah Universitas Hamzanwadi pada tahun 1977
6. mendirikan STKIP Hamzanwadi pada tahun 1978
7. mendirikan Sekolah Tinggi Ilmu Syari’ah Hamzanwadi pada tahun 1978
8. mendirikan Yayasan Pendidikan Hamzanwadi pada tahun 1982
9. mendirikan Universitas Nahdlatul Wathan Mataram pada tahun 1987
10. mendirikan Sekolah Tinggi Ilmu Hukum Hamzanwadi pada tahun 1987
11. mendirikan Sekolah Tinggi Ilmu Dakwah Hamzanwadi pada tahun 1990
12. mendirikan Madrasah Aliyah Keagamaan putera-puteri pada tahun 1994
13. mendirikan Institut Agama Islam Hamzanwadi pada tahun 1996

Sementara sumbangan beliau dalam bidang dakwah adalah seperti berikut,
1. menjadi Amirul Haji dari Negara Indonesia Timur pada tahun 1947/48
2. menjadi anggota Delegasi Negara Indonesia Timur ke Arab Saudi pada tahun 1948/49
3. menjadi Konsulat NU Sunda Kecil pada tahun 1950
4. menjadi Ketua Badan Penasihat Masyumi Daerah Lombok pada tahun 1952
5. mendirikan Organisasi Nahdlatul Wathan pada tahun 1953
6. menjadi Ketua Umum PBNW Pertama pada tahun 1953
7. menjadi anggota Konstituante RI hasil Pemilu I pada tahun 1955
8. menjadi peserta KIAA (Konferensi Islam Asia Afrika) di Bandung pada tahun 1964
9. menjadi penasihat Majlis Ulama’ Indonesia (MUI) Pusat pada tahun 1971-82
10. menjadi Ketua Penasihat Bidang Syara’ Rumah Sakit Islam Siti Hajar Mataram (dari tahun 1975 hingga 1997)

Hasil tulisannya
Tuan Guru Haji Muhammad Zainuddin banyak mengarang kitab samada dalam bahasa Arab, Indonesia dan Sasak. Antaranya ialah seperti
Dalam bahasa Arab
1. Risalah al-Tauhid
2. Sullam al-Hija Syarah Safinah al-Naja
3. Nahdlah al-Zainiah
4. At Tuhfah al-Amfenaniyah
5. Al Fawakih al-Nahdliyah
6. Mi’raj al-Shibyan ila Sama’i Ilm al-Bayan
7. Al-Nafahat ‘ala al-Taqrirah al-Saniyah
8. Nail al-Anfal
9. Hizib Nahdlatul Wathan
10. Hizib Nahdlatul Banat
11. Tariqat Hizib Nahdlatul Wathan
12. Shalawat Nahdlatain
13. Shalawat Nahdlatul Wathan
14. Shalawat Miftah Bab Rahmah Allah
15. Shalawat al-Mab’uts Rahmah li al-‘Alamin

Dalam bahasa Indonesia dan Sasak
1. Batu Ngompal
2. Anak Nunggal
3. Taqrirat Batu Ngompal
4. Wasiat Renungan Masa I dan II

Beliau turut mengarang bait-bait nasyid antaranya seperti
1. Ta’sis NWDI
2. Imamuna al-Syafi’i
3. Ya Fata Sasak
4. Ahlan bi Wafid al-Zairin
5. Tanawwar
6. Mars Nahdlatul Wathan
7. Bersatulah Haluan
8. Nahdlatain
9. Pacu Gama’

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>